Daripada Ummu Salamah, katanya: “Aku
bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Jawabnya Baginda SAW: “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana
yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku bertanya lagi: “Wahai
Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Dengan solat, puasa dan
ibadah mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan
cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan
berperhiasan kuning…” – Riwayat At-Thabrani.
Sungguh mulia dan sempurna seorang
perempuan solehah itu, tarafnya di sisi Allah SWT lebih tinggi daripada
bidadari, malahan bidadari hanyalah ibarat gundik-gundik yang mengiringi setiap
pergerakannya.
Seringkali orang bertanya, kenapa
perlu adanya bidadari di syurga, sedangkan perempuan solehah itu sudah cukup
mempesona, sudah cukup sempurna?
Sebenarnya, bidadari-bidadari syurga
hanyalah memainkan peranan sebagai penyerlah kecantikan perempuan solehah
tersebut. Bayangkan sebuah bintang yang bersinar paling gemerlap di langit,
mana mungkin terserlah kecantikannya tanpa bintang-bintang lain yang kurang
bersinar di sekeliling. Mana mungkin terserlah kecantikannya jikalau hanya
bintang tersebut satu-satunya yang ada di langit. Samalah juga dalam hal ini,
perempuan solehah di syurga akan terserlah kecantikannya dengan hadirnya
bidadari-bidadari di sekelilingnya.
BAGAIMANAKAH YANG DIKATAKAN
PEREMPUAN SOLEHAH?
Seorang gadis kecil berkata kepada
ayahnya: “Wahai ayahku, aku ingin sekali menjadi perempuan solehah.
Bagaimanakah perihal perempuan solehah itu?”
Si ayah pun menjawab: “Wahai anakku,
seorang perempuan solehah itu bukan dilihat daripada kecantikan dan keayuan
wajahnya semata-mata. Wajahnya hanya memainkan satu peranan yang teramat kecil.
Akan tetapi, perempuan solehah dilihat daripada kecantikan dan ketulusan
hatinya yang tersembunyi di dalam dada. Itulah perempuan yang terbaik.”
Sambung si ayah lagi: “Anakku,
seorang perempuan solehah bukan dilihat daripada bentuk tubuh badannya yang
mempesona, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menutup bentuk tubuhnya yang
mempesona itu. Perempuan solehah bukanlah dilihat daripada sebanyak mana
kebaikan yang diberikannya, tetapi daripada keikhlasan hatinya ketika ia
memberikan segala kebaikan itu. Perempuan solehah bukan dilihat daripada
seberapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat daripada apa yang sering
mulutnya bicara. Perempuan solehah bukan dilihat daripada keahliannya
berbahasa, tetapi daripada bagaimana ia bicara dan hujah kebenaran di
sebaliknya.”
“Ketahuilah puteriku, perempuan
solehah itu bukan dilihat daripada keberaniannya memakai pakaian yang grand,
tetapi dilihat daripada sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya
melalui apa yang dipakainya. Perempuan solehah bukan dilihat daripada
kekhuatirannya digoda orang di tepi jalanan, tetapi dilihat daripada
kekhuatirannya bahawa dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Perempuan
solehah bukan dilihat daripada seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia
hadapi, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan
penuh rasa redha dan kehambaan kepada TuhanNya, dan ia sentiasa bersyukur
dengan segala kurniaan yang diberikan.”
Si puteri kecil mengangguk-angguk
tanpa faham.
“Dan ingatlah wahai puteriku,”
sambung si ayah lagi. “Perempuan solehah bukan dilihat daripada sifat mesranya
dalam bergaul, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan
dirinya dalam bergaul.”
Si anak terus bertanya, “Wahai
ayahku, siapakah yang memiliki sifat-sifat tersebut? Bolehkah saya menjadi
sepertinya? Mampukah dan layakkah saya untuk berada di syurga nanti?”
Si ayah mengangguk-angguk sambil
menggosok-gosok kepala puterinya. “Ya, anakku. Sesiapa sahaja boleh
memilikinya. Nabi Muhammad SAW, rasul junjungan telah bersabda bahawa apabila
seorang perempuan itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan,
menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga
dari pintu-pintu yang ia kehendakinya (riwayat Al-Bazzar).”
NILAI SEORANG PEREMPUAN SOLEHAH
Apakah nilai seorang perempuan
solehah? Berapakah harganya di sisi Allah SWT? Jawab Al-Khawarizmi, pakar
Matematik Islam:
Jika wanita solehah dan beragama = 1
Jika dia cantik, tambah 0 kepada 1 =
10
Jika dia kaya, tambah lagi 0 = 100
Dan jika dia dari keluarga
baik-baik, tambah lagi 0 = 1000
Tetapi jika yang ’1′ tiada…
Maka, tiada apa yang tersisa pada
wanita tersebut kecuali sekelompok ‘0’.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa
nilai perempuan solehah itu terlampau berharga, sehinggakan kecantikan,
kekayaan dan keturunannya tidak akan dilihat sama sekali tanpa keimanan dan
kepatuhan kepada Allah SWT.
Wahai perempuan solehah, ketahuilah
bahawa,
- Engkau memang cantik selagi kau menutup malu,
- Engkau memang cantik selagi kau memelihara adab,
- Engkau memang cantik selagi kau menjaga aurat,
- Engkau memang cantik selagi kau menjaga batas,
- Engkau memang cantik selagi kau waras berhias,
- Engkau memang cantik selagi kau bersifat fitrah,
- Engkau memang cantik selagi kau pantang menyerah,
- Engkau memang cantik selagi kau terus bersolat,
- Engkau memang cantik selagi kau lurus bertaubat,
- Engkau memang cantik selagi kau jujur berilmu,
- Engkau memang cantik selagi kau taat suami,
- Engkau memang cantik selagi kau membaca Al-Qur’an,
- Engkau memang cantik selagi kau beradab sopan,
- Engkau memang cantik selagi kau kasih ibu bapa,
- Engkau memang cantik selagi kau mendidik keluarga,
- Engkau memang cantik selagi kau sabar & tenang,
- Engkau memang cantik selagi kau tegakkan Islam,
- Engkau memang cantik selagi kau mencegah kemungkaran,
- Engkau memang cantik selagi kau berniatkan Tuhan,
- Engkau memang cantik kerana kau seindah Islam!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar